30.5.09

Saat saat terakhir.....

Jika sesiapa yang masih ada kemusykilan sila ajukan soalan di ruangan ini....jangan lupa Isnin jumpa di MT Rm 1 sebelum 730 - Cikgu Lokhman akan ada di sana.

Contoh Surat Rasmi - Soalan untuk Set H

Zahrin Bin Asri
Blok 18 Jalan Mattar
#05-21
Singapura 780018

29 Mei 2009

Pengetua
Sekolah Menengah Sentosa
No 12, Jalan Sentosa
Singapura 123012

Tuan

Maklum balas tentang Program Pengayaan untuk para pelajar menengah empat

Saya Zahrin Bin Asri mewakili pelajar-pelajar menengah empat yang menyertai sebuah program pengayaan yang diadakan baru-baru ini. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana telah mengadakan sebuah program pengayaan buat kami. Justeru itu, saya ingin memberi maklum balas serta cadangan bagi memperbaiki program tersebut.

Pertama sekali, program tersebut amat memberi manfaat kepada kami. Program tersebut banyak mengajar kami tentang kemahiran menjadi seorang ketua yang berkebolehan, berdedikasi dan bertanggungjawab. Kemahiran berbual dan membentang idea serta pandangan di hadapan khalayak ramai dapat menambah keyakinan diri kami. Pada mulanya, saya berasa kaku semasa melakukan pembentangan. Setelah diajar teknik-tekniknya, saya lebih yakin dan memberanikan diri untuk cuba sekali lagi. Ia juga memperkenalkan kepada kami tentang ciri-ciri seorang ketua, sama ada seseorang itu pemimpin yang mengamalkan cara kepimpinan demokratik atau autokratik. Secara tidak langsung, program tersebut membentuk kami untuk menjadi seorang anak watan yang berkebolehan dan berani menempuh segala cabaran.

Selain dari itu, program tersebut juga menyentuh tentang nilai-nilai murni yang harus diterapkan dalam jiwa kita. Nilai-nilai murni yang diterapkan ialah saling menghormati, komitmen dan disiplin. Sebagai seorang ketua, kita harus menghormati satu sama lain kerana jika tidak, ia akan menjejas imej kita dan budi pekerti sebagai seorang ketua. Motivasi yang diberikan kepada kami juga memberi manfaat untuk merealisasikan impian kami. Kata-kata motivasi daripada pakar motivasi Profesor George Howard memberi kami inspirasi untuk menjadi seorang yang berjaya seperti beliau. Di akhir program tersebut, kami lebih terdorong untuk mencapai impian kami dan berusaha untuk mendapatkannya.

Sungguhpun demikian, saya ingin memberi beberapa cadangan bagi memperbaiki program tersebut. Saya berpendapat jangka masa yang ditetapkan amat panjang. Program tersebut seringkali berakhir pada jam sembilan malam. Sementara itu, saya dapati waktu rehatnya pula amat pendek. Ini meletihkan para peserta. Saya cadangkan agar pihak penganjur memendekkan sesi program supaya para peserta tidak keletihan. Saya juga cadangkan agar pihak penganjur menyediakan makan tengah hari untuk para peserta. Program tersebut juga wajar diadakan setiap tahun kerana ia dapat memupuk dan membina sikap kepimpinan di kalangan pelajar.

Oleh itu, saya berharap maklum balas dan cadangan yang telah saya kemukakan dapat memperbaiki program tersebut dengan lebih baik. Dengan ini, saya akhiri warkah ini dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar
Zahrin
Zahrin Bin Asri